Apa yang lebih menarik lagi, masyarakat Cina turut menganggap bisnes merupakan satu seni. Memetik satu falsafah masyarakat Cina yang berbunyi, ‘dunia perniagaan penuh dengan sepak terajangnya. Oleh itu peniaga perlu mempersiapkan dirinya dengan seni kungfu perniagaan bagi menghadapi sebarang bentuk serangan dan kemungkinan mendatang.’ Falsafah ini begitu popular dalam kalangan mereka. Mereka turut menyamakan perniagaan atau bisnes dengan seni kungfu yang digunakan untuk mempertahankan diri. Mengapa? Dunia bisnes memerlukan kita untuk bersedia bagi menghadapi segala rintangan dan masalah yang tidak dijangka. Begitu juga dengan seni kungfu. Mempelajari seni kungfu adalah bertujuan untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi sebarang bentuk ancaman yang mendatang. Maka, daripada sinilah timbulnya istilah seni bisnes atau seni perniagaan bagi masyarakat Cina. Terdapat beberapa tip penting yang membahaskan tentang seni perniagaan masyarakat Cina, anataranya ialah :
- Seni berniaga adalah cukup halus dan tidak memadai mempelajarimya secara teori sahaja. Berniaga perlu praktikal dan menuntut seseorang supaya selalu bersikap fleksibel.
- Peniaga perlu bersikap ringan tulang, ramah serta menjadikan pelanggan sebagai saudara rapat atau sebagai seorang sahabat.
- Seseorang peniaga perlu mempunyai daya ketahanan yang tinggi, mental yang kuat dan jiwa yang teguh dengan pendirian.
Untuk menjadi seseorang yang berjaya dalam perniagaan dan bisnes, mereka selalunya tidak kedekut untuk mengeluarkan perbelanjaan asalkan dapat menarik dan meyakinkan hati pelanggan. Bagi mereka, pelanggan yang akan membantu mereka untuk mengembangkan lagi perniagaan yang sedang diusahakan. Antara petua yang mereka selalu amalkan dalam perniagaan adalah ‘menjadi peniaga yang mudah dipercayai, mudah berurusan dan tidak cerewet.’ Disebabkan petua ini juga, mereka begitu gigih dan bersungguh-sungguh untuk menarik hati pelanggan dan menjaga pelanggan yang sedia ada dengan sebaik-baiknya. Bagi mereka juga, dalam perniagaan perlu ada nilai-nilai kemanusiaan, elemen kebajikan dan tanggungjawab sosial kepada masyarakat dan peniaga adalah diibaratkan seperti hamba yang berkhidmat kepada tuannya.
Selain itu, masyarakat Cina turut menekankan beberapa ciri-ciri seorang peniaga yang perlu ada dalam diri mereka. Bisnes atau perniagaan tidak akan menjadi satu seni sekiranya ciri-ciri ini tidak ada dalam diri mereka. Antara ciri-ciri tersebut adalah :
- Sabar
- Tidak mudah putus asa
- Pandai merebut peluang
- Mempunyai perhubungan awam yang baik
- Berpandangan jauh
- Berpegang pada janji
- Berupaya meyakinkan pelanggan semasa menguruskan perniagaan
- Memiliki daya tahan dan semangat juang yang tinggi
- Tidak suka menunggu kerana peluang tidak pernah menunggu mereka
Ciri-ciri ini perlu ada dalam diri setiap peniaga yang ingin memastikan perniagaan mereka dapat berkembang maju. Apa yang disenaraikan ini juga adalah merupakan satu jalan yang boleh diguna pakai dalam strategi seseorang peniaga untuk menarik lebih banyak kepercayaan dan keyakinan para pelanggan terhadap bisnes yang dijalankan. Apabila pelanggan semakin ramai, maka sudah tentu untung yang lebih besar juga turut menanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan